GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Perak, Pahang dan Sabah bermula 6 hingga 19 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Perak membabitkan Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan di Mukim Ulu Kinta, Taman Kerian Tambahan di Parit Buntar, tiga perkampungan di Batu 9 Lekir dekat Manjung, Taman Berkat di Mukim Matang dan masing-masing dua perkampungan di Mukim Pengkalan Hulu serta Mukim Kerunai di Hulu Perak.

"PKPD di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan dibuat selepas sebanyak 24 kes positif direkodkan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan 243 saringan ke atas penduduk dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.

"Manakala, PKPD Taman Kerian Tambahan pula dilaksanakan selepas sebanyak 64 kes direkodkan hasil daripada keseluruhan 408 saringan dilakukan KKM dengan kadar positif sebanyak 15.4 peratus," katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Mukim Lekir membabitkan Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong selepas berlaku peningkatan ketara kes di kawasan berkenaan dengan 57 kes positif direkodkan

Katanya, PKPD di Pahang membabitkan bandar Bentong merangkumi Kampung Chamang Lama dan Baru, Taman Bukit Chamang, Kawasan Perindustrian Bentong, Kampung Baru, Taman Saga, Taman Bukit Indah, Kampung Sungai Marong dan Taman Bukit Bentong.

"PKPD bandar Bentong juga membabitkan Taman Hussin, Taman Syahbandar, Kampung Perting, Kemansur, Kuala Repas, Bentong Heights, Rumah Murah Batu 1 dan PPRT Batu 1, Taman Bentong Makmur, Taman Harmoni, Taman Kolej dan Taman Desa Damai.

"Sejak 17 sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 209 kes positif Covid-19 dilaporkan sekitar bandar Bentong selepas ujian saringan dijalankan ke atas 914 orang penduduk di situ," katanya.

Bagi Sabah pula, PKPD dilaksanakan di Taman Wangsa, Jalan Telipok, Kota Kinabalu dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi dekat Kudat.

"Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 7:06 PM