Jururawat menyukat dos vaksin Pfizer-BioNTech. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Jururawat menyukat dos vaksin Pfizer-BioNTech. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Dewan Serbaguna Pagoh di Muar diluluskan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) (bukan kesihatan) kedua di daerah itu pada 11 Mei lalu.

Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Johor menerusi satu kenyataannya berkata, ia sekali gus menafikan dakwaan bahawa tiada PPV di kawasan Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang diwakili Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, mesyuarat Badan Bertindak CITF Johor pada 24 April lalu memaklumkan bahawa hanya Dewan Maharani dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah diluluskan oleh CITF Persekutuan sebagai PPV di Muar.

"Keputusan itu adalah berdasarkan syarat yang ditetapkan CITF Persekutuan dengan sesebuah PPV boleh dibuka jika mempunyai sasaran jumlah pendaftaran vaksinasi di sesuatu kawasan dengan 8,000 orang dalam radius 10 kilometer.

"Namun, pentadbiran daerah menerusi Pejabat Kesihatan Daerah juga mengambil inisiatif dan memohon pembukaan sebuah PPV di Pagoh bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan Parlimen Pagoh atas faktor jarak dan pengangkutan.

"Janji temu pertama ditetapkan pada 6 Jun ini dan lawatan ke tapak penyelarasan bagi pembukaan itu diadakan pada 31 Mei lalu membabitkan pelbagai jabatan yang menjadi Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan turut memaklumkan, PPV di Bukit Gambir yang dicadangkan untuk dibuka di Dewan Muafakat Johor, Bukit Gambir mula beroperasi pada 1 Jun lalu dengan jumlah kakitangan seramai 45 orang.

"Pembukaan PPV Bukit Gambir pada hari pertama menerima kehadiran seramai 150 orang awam bagi suntikan pertama, manakala 408 orang lagi akan menerima suntikan pertama pada 6 dan 8 Jun ini.

"CITF Johor akan terus bekerjasama dengan semua agensi berkepentingan termasuk CITF peringkat daerah bagi meningkatkan kapasiti vaksinasi pada kadar optimum, selain memastikan imuniti kelompok di seluruh Johor dapat dicapai secepat mungkin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 6:12 PM