HAMZAH menasihati pengunjung supaya menjaga dan mematuhi SOP ketika meninjau suasana pusat beli-belah. FOTO Hazreen Mohamad
HAMZAH menasihati pengunjung supaya menjaga dan mematuhi SOP ketika meninjau suasana pusat beli-belah. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Individu yang cuba menakutkan orang awam dengan pelbagai dakyah dan kempen tidak tepat mengenai vaksin Covid-19 boleh dikenakan tindakan mengikut Ordinan Darurat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya sedang mengkaji perkara itu termasuk perbuatan individu antivaksin yang cuba menghasut orang ramai daripada mendapatkan suntikan vaksin.

"Jika mereka tidak mahu mengambil vaksin, itu masalah mereka tetapi jika membuat kempen untuk menakut-nakutkan orang ramai sehingga menjejaskan usaha kerajaan dalam mencapai imuniti kelompak, sesuatu perlu dilakukan," katanya selepas membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah pusat beli-belah di Bangsar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dan Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin di negara ini jika golongan itu didapati menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan juga sudah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengkaji pelaksanaan program imunisasi secara wajib jika jumlah pendaftaran gagal mencapai sasaran imuniti kelompok.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, setiap keputusan kerajaan ketika ini adalah berdasarkan data semasa dan kajian dilakukan dengan terperinci bagi kebaikan seluruh rakyat.

"Apabila ada pihak yang membuat kempen yang menakut-nakutkan rakyat seolah apa saja yang dilakukan kerajaan ketika ini semuanya tidak betul.

"Apa yang dilakukan kerajaan hari ini bukan mengikut perasaan semata-mata tetapi kita ada kajian tersendiri bagi memastikan semua rakyat mendapatkan yang terbaik," katanya.

Menurutnya, dalam isu pandemik ini, kerajaan mahu semua divaksin supaya negara ini mencapai imuniti kelompok dengan segera bagi mencapai imuniti kelompok bagi mengelak kewujudan lebih banyak kluster Covid-19.

"Apabila wujud imuniti kelompok, apa saja boleh dilakukan termasuk pembukaan parlimen dan disebabkan itu, kita mahu semua orang divaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 2:39 PM