GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Penggunaan katil di 14 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan mencapai kadar antara 80 sehingga 109 peratus, sehingga semalam.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, di PKRC Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini, penggunaannya mencapai 109 peratus iaitu 122 pesakit berbanding kapasiti sebenar 112 orang sahaja.

Katanya, PKRC di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas pula mencapai penggunaan 100 peratusdengan 160 katil.

"Walaupun jumlah kes harian turun dalam masa dua atau tiga hari ini, namun pesakit Covid-19 di Kelantan masih ramai susulan kes yang tinggi pada dua minggu yang lalu.

"Kami memasukkan pesakit yang menjalani Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) ke PKRC selepas mendapati mereka memerlukan rawatan lanjut atau bergejala," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu dilakukan bagi mengelakkan tahap kesihatan individu yang positif Covid-19 menjadi lebih teruk.

Menurutnya, pesakit ini akan dipantau dan dirawat sehingga mereka benar-benar sembuh daripada Covid-19.

"Kita menasihatkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menyahut seruan kerajaan untuk berada di rumah sempena pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP).

"Langkah ini akan menurunkan penyebaran Covid-19 terutama di Kelantan," katanya.

Kelantan semalam, mencatatkan sebanyak 414 kes baharu dan tiga kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Jalan Sri Aman, Kluster Aur serta Kluster Jalan 4A Padang Tembak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 1:25 PM