GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 12 penghantar makanan e-hailing di daerah Sentul, di sini, dikenakan kompaun atas kesalahan makan secara berkumpulan dengan tidak menjaga penjarakan fizikal pada 1 dan 2 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya mengeluarkan lapan kompaun terhadap penghantar makanan e-hailing di sebuah taman permainan di Taman Segambut, Sentul pada 10.25 pagi, 1 Jun lalu, atas kesalahan itu.

"Empat lagi penghantar makanan e-hailing dikenakan kompaun di sebuah warung kosong yang tidak beroperasi di tepi jalan Batu 3, Jalan Ipoh pada 2 Jun lalu, atas kesalahan sama.

"Semua penghantar makanan berkenaan diberi nasihat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tidak diendahkan.

"Pihak polis terpaksa mengambil tindakan tegas bagi menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta 342 demi memutuskan rantaian penularan Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PKP dengan tidak berkumpul sehingga menyukarkan penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung pelanggaran SOP PKP boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-4042206," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memuat naik hantaran di media sosial yang memaklumkan enam penghantar makanan dikenakan kompaun di dua lokasi berlainan di Segambut ketika makan semasa menunggu pesanan, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 10:26 AM