Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan mensasarkan membuka sekurang-kurangnya 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara menjelang hujung tahun ini bagi meningkatkan lagi kapasiti pengagihan vaksin.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ketika ini terdapat 357 PPV di seluruh negara termasuk tiga PPV berskala mega iaitu Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) di Shah Alam.

Menurutnya, penambahan PPV akan dilaksanakan secara berperingkat supaya lebih ramai orang dapat diberikan vaksin demi mencapai sasaran 80 peratus penduduk mendapat suntikan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjelang hujung tahun ini.

"Lima PPV berskala mega juga akan mula beroperasi di sekitar Lembah Klang bermula 7 Jun ini iaitu tiga di Selangor manakala dua lagi di Kuala Lumpur yang mampu memberi 2,000 hingga ke 8,000 suntikan setiap hari.

"Selain pembukaan lebih banyak PPV, kita juga sedang memikirkan kaedah lain untuk melaksanakan vaksinasi termasuk PPV yang bersifat sementara memandangkan kita akan menerima lebih banyak bekalan vaksin bermula bulan ini," katanya ketika melakukan Lawatan ke PPV di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) Kampung Laut di sini, hari ini.

Selain penambahan PPV di seluruh negara, Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, terdapat beberapa isu yang perlu diperhalusi seperti petugas kesihatan di PPV.

"Kita kena pastikan mereka mendapat rehat yang mencukupi dan sebab itu kita melihat alternatif lain daripada Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dan sebagainya untuk turut serta bertugas di PPV.

"Daripada segi GP swasta, terdapat kira-kira 2,500 orang berdaftar untuk melaksanakan PICK dengan seramai 1,800 daripadanya sudah diluluskan," katanya.

Menurut Ahmad Amzad lagi, selain penggunaan vaksin Pfizer, Sinovac atau AstraZeneca, kerajaan sedang menunggu kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) terhadap dua lagi iaitu vaksin Sputnik V-Gamaleya keluaran Rusia dan vaksin CanSino dari China untuk dibawa masuk ke Malaysia.

"Rundingan sudah selesai dan kita sedang tunggu kelulusan NPRA untuk membawa masuk dua vaksin ini ke dalam negara," katanya

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 4:20 PM