GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu akan dibuka oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan akan diberikan kepada anggota tentera dan ahli keluarga mereka terlebih dulu sebelum dibuka kepada orang awam.

"Buat masa ini Kem Perdana Sungai Besi dipilih sebagai projek perintis PPV pandu lalu yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Berdasarkan perancangan awal, proses vaksinasi melalui kaedah ini hanya untuk anggota ATM dan keluarga mereka terlebih dahulu.

"Jika konsep ini berjaya dilaksanakan, kita akan membukanya kepada orang awam supaya mereka juga dapat menerima suntikan vaksin secara pandu lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya sempena Pelancaran Pembinaan Hospital Modular Covid-19 ATM di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PPV pandu lalu mensasarkan pemberian vaksin sebanyak 1,000 hingga 2,000 dos sehari dan konsep itu jelas lebih memudahkan dan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin.

Menurutnya, pihaknya bercadang membuka lebih banyak pusat supaya dapat mencapai kapasiti 10,000 vaksin sehari.

"Seramai 56,290 warga ATM melengkapkan dua dos suntikan masing-masing setakat 1 Jun lalu dan kita menjangkakan peningkatan bekalan vaksin negara dalam bulan ini dapat mempercepatkan lagi proses ini.

"Diharapkan semua pegawai dan anggota dapat menerima suntikan mereka selewat-lewatnya pada penghujung Julai depan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 140,913 dos vaksin sudah dipohon bagi memenuhi tujuan ini termasuk keperluan bagi veteran ATM yang memohon melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

"Jenis vaksin bergantung kepada yang akan dibekalkan, dan buat masa ini kita mendapat bekalan vaksin Pfizer dan kemungkinan vaksin Sinovac dari Pharmaniaga Sdn Bhd," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, satu Hospital Modular ATM akan dibina di dalam kawasan Hospital Tuanku Mizan yang disumbangkan WCT Holdings Bhd dalam tempoh tiga bulan dengan peruntukkan sepenuhnya berjumlah RM20 juta dibiayai syarikat swasta itu.

"Hospital modular ini menggunakan konsep 'pre fabricated modules' dan boleh memuatkan 64 katil termasuk 16 katil ICU (Unit Rawatan Rapi).

"Kita ingin membantu kerajaan untuk menambah jumlah katil yang ketika ini walaupun masih mencukupi tetapi sebagai persediaan awal sekiranya kes naik mendadak," katanya.

Ismail Sabri turut mengesahkan ATM akan membuka enam lagi hospital medan bagi menambah dua yang baru diluluskan sebelum ini untuk menguruskan dan menangani Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini jumlah doktor dan paramedik mencukupi untuk diatur gerak ke pedalaman bagi proses vaksinasi.

"Kita mempunyai ramai doktor dan paramedik yang bersara, kita akan tawarkan kerja kontrak.

"Perkara ini sedang diuruskan KKM (Kementerian Kesihatan). Dulu kita mohon 30 doktor dan 100 paramedik tetapi sekarang kita sudah memohon dan akan hantar kepada PM (Perdana Menteri) dalam masa terdekat," katanya.

Katanya, menerusi program Jiwa Murni, ATM akan menaiki bot atau helikopter ke kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak supaya program imunisasi kelompok dapat dijayakan di negara ini.

"Penduduk di kampung terutama warga emas yang tak mampu keluar untuk dapat vaksin, kedudukan jauh perlu naik bot dua hingga tiga jam.

"Pihak tentera akan masuk ke kawasan ini dengan membina khemah atau kanopi supaya semua orang berpeluang mendapatkan vaksin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 1:43 PM