WANITA berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
WANITA berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Nuraliawati Sabri


Melaka: Tindakan seorang wanita warga Vietnam yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks terbongkar selepas dia dicekup polis dalam serbuan di sebuah hotel di Bandar Hilir, di sini, semalam.

Wanita berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ketika melakukan pemantauan dalam Ops Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pada 6.45 petang.

Ketua JSJ negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, wanita terbabit dikatakan menggunakan aplikasi WeChat untuk mencari pelanggan dan menyewa bilik hotel untuk dijadikan tempat dia menjalankan aktiviti tidak bermoral itu.

Beliau berkata, ketika serbuan di bilik yang disewa itu, polis mendapati terdapat seorang lelaki di dalamnya dipercayai pelanggan kepada wanita terbabit.

"Daripada siasatan dilakukan, kita syaki wanita terbabit menjalankan aktiviti pelacuran, malah ketika serbuan terdapat seorang lelaki warga tempatan bersamanya di dalam bilik.

"Semakan dilakukan juga mendapati wanita itu menyewa bilik hotel berkenaan selama empat hari sejak Isnin dan dia dipercayai menjalankan aktiviti tidak bermoral itu kira- kira seminggu lalu," katanya.

Menurut beliau, wanita itu turut dikatakan mengenakan caj bayaran RM200 kepada pelanggan yang mahukan khidmat seksnya.

"Siasatan lanjut dijalankan mendapati dia mengenakan bayaran RM200 untuk sekali perkhidmatan, bagaimanapun sekiranya pelanggan 'pandai memujuk', caj dikurangkan kepada RM150.

"Dalam serbuan itu juga polis turut merampas sejumlah wang tunai, beberapa keping kondom serta cecair pelincir," katanya.

Mengulas lanjut Mohd Sukri berkata, wanita itu kemudian dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat seks.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 9:13 AM