Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis giat mengesan individu yang mengalihkan konkrit dan penghadang jalan yang dipasang di laluan alternatif susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 21 mukim di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya mengesan tiga laluan diceroboh penduduk untuk merentasi halangan berkenaan walaupun baharu tiga hari pelaksanaan PKPD.

Beliau berkata, ia membabitkan laluan susur keluar Kampung Jeram yang bersempadan antara daerah Kuala Terengganu-Kuala Nerus, Kampung Tiruk Sempadan daerah Hulu Terengganu dan Jalan Surau Haji Yaacob di sempadan daerah Marang.

"Kita percaya mereka mengalihkan batu-batu ini untuk keluar dari kawasan daerah Kuala Terengganu yang ketika ini berada dalam PKPD untuk ke daerah Kuala Nerus menggunakan laluan alternatif.

"Mereka ini dipercayai menggunakan motosikal kerana batu yang dialihkan itu boleh muat untuk laluan motosikal sahaja.

ABDUL Rahim (kanan) bersama anggota membetulkan penghadang jalan konkrit selepas dialihkan penduduk yang tidak bertanggungjawab di susur keluar Kampung Jeram Manir.  FOTO Ghazali Kori
ABDUL Rahim (kanan) bersama anggota membetulkan penghadang jalan konkrit selepas dialihkan penduduk yang tidak bertanggungjawab di susur keluar Kampung Jeram Manir. FOTO Ghazali Kori

"Setakat ini, satu kertas siasatan dibuka kerana perbuatan khianat dengan merosakkan batu halangan yang dipasang di susur keluar Kampung Jeram, Manir.

"Kita pandang serius ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya.

Mengulas mengenai penguatkuasaan PKPD di Kuala Terengganu, Abdul Rahim berkata, sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di laluan-laluan utama di bandar raya ini bagi mengawal pergerakan penduduk 21 mukim terbabit.

Katanya, pihaknya turut menutup 10 laluan alternatif termasuk laluan tikus ke Kuala Terengganu bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk orang ramai ke kawasan itu tanpa kebenaran.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 1:03 PM