Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO ASYRAF HAMZAH
Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO ASYRAF HAMZAH
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 10 individu ditahan secara berasingan dengan terbaru tangkapan di Melaka Tengah, Melaka kerana menularkan berita tidak benar mengenai Covid-19 atau Proklamasi Darurat mengikut ordinan darurat yang diwartakan pada 11 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu) (no. 2) 2021 yang diwartakan itu adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

Menurutnya, ia sekali gus memberi kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKKM) menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan secara keseluruhan atau sebahagian berita tidak benar khususnya di media sosial.

"PDRM mengesahkan sebanyak 21 kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) ordinan ini sejak dikuatkuasakan pada 12 Mac lalu.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kontinjen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata, sebanyak sembilan tangkapan dibuat secara berasingan terhadap individu yang disiasat mengikut ordinan ini dan terkini, satu lagi tangkapan dibuat di kawasan Melaka Tengah, Melaka menjadikan jumlah keseluruhan seramai 10 orang.

"Daripada jumlah itu, tiga tangkapan menerima arahan tuduh daripada Pejabat Peguam Negara mengikut ordinan itu manakala tujuh lagi dijamin polis sehingga siasatan dilengkapkan.

"PDRM menasihatkan orang ramai berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata, PRDM juga menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta mengganggu-gugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 7:50 PM