VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Puchong: Kerajaan menerima permohonan tujuh juta dos vaksin daripada kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dari negeri yang merekodkan jumlah kes tinggi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, empat juta dos dimohon daripada GLC dan syarikat swasta manakala tiga juta dos daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, kebenaran itu diberikan kepada negeri yang merekodkan kes harian tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak.

"Apabila dos ini diterima, ia boleh mempercepatkan imuniti kelompok di kawasan wabak yang merekodkan jumlah kes harian yang tinggi.

"Suntikan itu kelak boleh dimasukkan dalam fasa dua hingga empat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)," katanya dalam sidang media selepas melawat Pharmaniaga LifeScience (PLS) Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Dr Adham berkata, PLS menyiapkan pengeluaran vaksin Covid- 19 jenis Sinovac secara 'fill and finish' akan meningkatkan kapasiti sehingga dua juta dos sebulan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan memanggil semula vaksinator yang sudah bersara untuk bekerja secara kontrak bagi membolehkan kapasiti vaksinasi harian ditingkatkan.

Katanya, KKM juga akan menggunakan khidmat graduan kesihatan yang belum mendapat penempatan kerja di KKM untuk membantu mempercepatkan program vaksinasi.

"Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega yang akan diwujudkan juga boleh mempertingkatkan kapasiti vaksinasi sehingga 200,00 sehari.

"Kini antara 90,000 hingga 100,000 individu menerima vaksin setiap hari dan jumlah itu akan ditingkatkan agar Malaysia dapat capai imuniti kelompok menjelang Ogos ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 6:33 PM