BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan dan pemeriksaan di sekatan jalan raya seluruh negara, serentak dengan penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh yang bermula hari ini.

Sekatan jalan raya ditambah, begitu juga penugasan anggota bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh semasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dipatuhi dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Tugas yang dipikul bersama Angkatan Tentera Malaysia itu melibatkan 55,000 anggota PDRM dengan 800 sekatan jalan raya digerakkan di seluruh negara dengan dua konsep iaitu sekatan jalan raya tetap dan bergerak.

Serentak dengan peningkatan penguatkuasaan itu, tinjauan Bernama di seluruh negara mendapati kebanyakan jalan utama dan pusat-pusat bandar agak lengang dan boleh dikatakan jumlah kenderaan di atas jalan raya berkurangan sebanyak 70 peratus.

Bagaimanapun, kesesakan dilihat masih berlaku di sekatan-sekatan jalan raya berikutan pemeriksaan rapi oleh pasukan keselamatan dan menurut Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, kenderaan di jalan raya agak banyak sejak 7 pagi hingga 10.30 pagi tadi.

Semua mereka yang keluar itu didapati mempunyai surat kebenaran syarikat beroperasi, katanya sambil memberitahu terdapat tiga sekatan jalan raya di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul iaitu di Jalan Kepong, Jalan Sentul Pasar dan di Bandar Manjalara.

Bagi Selangor, negeri yang sering mencatatkan kes harian tertinggi wabak itu, tinjauan di sekitar bandar raya Shah Alam mendapati aliran trafik tidak sesak dan kebanyakan premis perniagaan yang tidak tergolong dalam perkhidmatan perlu juga tidak beroperasi.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah sekatan jalan raya sedia ada ditambah daripada 20 sekatan bergerak dan 47 sekatan tetap kepada lebih 100 sekatan setiap hari bagi memastikan SOP dipatuhi.

KEADAAN lengang di sekitar Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada hari pertama Sekatan Pergerakan Penuh. FOTO Eizairi Shamsudin
KEADAAN lengang di sekitar Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada hari pertama Sekatan Pergerakan Penuh. FOTO Eizairi Shamsudin

Keadaan yang sama dapat dilihat di Sarawak dan Kota Bharu apabila tinjauan mendapati aliran trafik lancar dan agak lengang, walaupun Sarawak menyambut perayaan Hari Gawai hari ini.

Penambahan sekatan jalan raya juga melibatkan seluruh Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Perlis dan Sabah.

Di KEDAH, pula PDRM bukan sahaja mempertingkatkan sekatan jalan raya tetapi turut menutup sepenuhnya 12 jalan alternatif yang menghubungkan antara daerah di negeri itu bagi mengelak perbuatan merentas daerah melalui jalan-jalan itu, manakala di PERLIS dua jalan tikus ditutup bagi mengelak orang ramai masuk ke negeri itu tanpa kebenaran.

Sementara itu di PERAK, Ketua Polis negeri Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, terdapat 21 jalan ditutup secara terus kerana bersempadan antara daerah atau negeri.

Sementara itu, walaupun larangan pergerakan berkuat kuasa, masih ada yang memohon permit pergerakan harian dan perkara itu dinyatakan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan apabila pihaknya menerima 2,148 permohonan permit pergerakan harian semalam dan daripada jumlah itu hanya 105 ditolak.

Penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh sehingga 14 Jun ini melibatkan larangan rentas daerah, negeri dan penutupan premis-premis perniagaan selepas pukul 8 malam dan mengehadkan pergerakan dalam radius 10 kilometer dengan hanya dua orang dibenar dalam satu kenderaan.

Bagaimanapun terdapat pengecualian bagi mereka yang mempunyai janji temu suntikan vaksin dan mereka tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada PDRM untuk ke pusat-pusat suntikan vaksin.

Bagi pergerakan melibatkan kecemasan, orang ramai perlu mendapatkan kelulusan daripada PDRM dan bagi mereka yang bekerja untuk sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan perlu mendapat surat daripada majikan dan kementerian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 5:47 PM