Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Terbukti hidupan liar berasal dari tanah besar China ini serasi dengan habitat di Malaysia apabila Giant Panda diberi nama Liang Liang selamat melahirkan seekor lagi anak panda malam tadi.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ( Perhilitan ) Semenanjung Malaysia berkata, Liang Liang selamat melahirkan seekor anak panda pada jam 8.30 malam di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara di sini.

Liang Liang yang ditempatkan di Zoo Negara, sebelum ini pernah melahirkan dua anak iaitu Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015 dan Yi Yi pada 14 Januari 2018.

"Kelahiran anak panda ini adalah kali ketiga bagi Liang Liang (panda betina) dan pasangannya Xing Xing (panda jantan) sejak berada di Malaysia pada tahun 2014.

"Pada masa ini jantina anak panda ini masih belum dapat dikenal pasti kerana ia masih di bawah jagaan rapi ibunya dan tidak dapat didekati," katanya.

Menurutnya, petugas Zoo Negara akan terus memantau dan mengawasi Liang Liang dan anaknya bagi tempoh 24 jam.

"Kelahiran anak Giant Panda kali ketiga ini adalah satu lagi kejayaan kepada usaha konservasi Giant Panda di bawah Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China yang dimeterai pada tahun 2012.

Panda gergasi Liang Liang selamat melahirkan seekor anak semalam di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara. FOTO BERNAMA
Panda gergasi Liang Liang selamat melahirkan seekor anak semalam di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 3:10 PM