Petugas kesihatan membuat pemeriksaan kepada pesakit Covid-19. FOTO Arkib NSTP
Petugas kesihatan membuat pemeriksaan kepada pesakit Covid-19. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa, di sini, yang mula beroperasi hari ini menjadi PKRC pertama di Kelantan menempatkan orang dalam pemantauan (PUS).

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, ia bagi mengasingkan keluarga yang sedang menunggu keputusan ujian calitan di dalam satu bilik khas supaya tidak bercampur dengan pesakit lain yang disahkan positif Covid-19.

Katanya, di PKRC ILP Pengkalan Chepa, pihaknya menempatkan PUS iaitu kes-kes kontak rapat Covid-19 yang mempunyai keputusan negatif selepas ujian calitan pertama atau kedua diasingkan di tingkat tiga dalam bilik khas, di mana mereka akan menjalani kuarantin selama 10 hari.

"Sehingga kini seramai 1,000 pesakit kategori satu dan dua yang menjalani Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) dan berdasarkan penelitian didapati keadaan rumah tidak sesuai untuk individu atau keluarga menjalani tempoh kuarantin sebelum keputusan ujian calitan diperolehi.

"Justeru, masyarakat perlu sedar situasi sebenar Covid-19 selain mereka juga perlu bersedia dari segi fizikal dan mental kerana wabak ini borpotensi untuk menjangkiti sesiapa sahaja," katanya kepada pemberita selepas melawat PKRC ILP Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie berkata, sehingga kini terdapat 14 PKRC di seluruh negeri untuk menempatkan pesakit Covid-19 daripada pelbagai peringkat usia.

"PKRC ILP ini mampu memuatkan seramai 278 pesakit kategori satu dan dua serta memfokuskan untuk menempatkan pesakit dalam kalangan ahli keluarga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 5:31 PM