Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Pasar awam di sini ditutup sembilan hari mulai 2 petang ini, selepas tiga peniaga disahkan positif Covid-19.

Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Rozali Mohamud berkata, penutupan pasar itu sehingga 8 Jun bagi membolehkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah melakukan pengesanan kontak rapat dan menjalankan aktiviti saringan, selain untuk kerja sanitasi.

Beliau juga meminta mana-mana peniaga yang juga kontak rapat kepada pesakit untuk menjalani ujian calitan dengan segera atau menghubungi Bilik Gerakan PKD Seberang Perai Tengah di talian 04-5397884 untuk mendapatkan janji temu.

"Selain itu, mana-mana peniaga atau pengunjung yang ingin melakukan ujian saringan boleh berbuat demikian di klinik swasta dan memaklumkan hasil keputusan kepada MBSP untuk tujuan rekod dan tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

NOTIS perintah tutup oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ditampal di Pasar Awam Bukit Mertajam hari ini. FOTO Danial Saad.
NOTIS perintah tutup oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ditampal di Pasar Awam Bukit Mertajam hari ini. FOTO Danial Saad.

Beliau mengingatkan peniaga yang diarah untuk menghadiri ujian calitan Covid-19 supaya menghadirkan diri dan operasi mengesan mereka akan dilakukan dengan bantuan pasukan keselamatan sekiranya mereka ingkar.

"Sekiranya mereka ingkar, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Dalam pada itu, katanya meminta kerjasama Perbadanan Pengurusan (MC) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di kawasan pentadbirannya untuk memaklumkan kepada Bilik Gerakan Daerah Seberang Perai Utara di talian 04-5751833, Seberang Perai Tengah (04-5397884) dan Seberang Perai Selatan (04-5943351) sekiranya terdapat kes positif Covid-19 di kejiranan masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 12:44 PM