Sebahagian warga media yang mendapat suntikan vaksin di bawah Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS) di UCSI Hospital, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Sebahagian warga media yang mendapat suntikan vaksin di bawah Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS) di UCSI Hospital, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seramai 45 orang pengamal dan petugas media di Negeri Sembilan sudah menerima suntikan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19.

Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS), Arfi Ahmad berkata, kesemua mereka menerima vaksin lebih awal hasil sokongan dan kerjasama daripada kerajaan negeri yang mengiktiraf petugas media sebagai antara barisan hadapan.

"Alhamdulillah, seramai 45 orang pengamal media daripada 70 orang ahli MANIS selesai menerima suntikan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19. Ahli yang lain akan menerima suntikan melalui janji temu masing-masing tidak lama lagi.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kerana menyedari bahawa petugas media juga perlu menerima vaksin Covid-19 secepat mungkin kerana kami juga adalah barisan hadapan yang sering berada di lapangan menjalankan tugas," katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital UCSI, Bandar Springhill, dekat sini tadi.

Menurut Arfi, kesemua petugas media ini menerima suntikan dos vaksin mereka di dua PPV di negeri ini iaitu di Hospital UCSI dan di PPV Dewan Majlis Bandaraya Seremban.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 6:49 PM