Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Teluk Pelandok, Batu 12 di sini, hari ini.

Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu yang ditemui dalam timbunan baju dalam bilik di kediaman berkenaan, dipercayai maut akibat lemas terhidu asap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.52 pagi.

Katanya, ketika tiba, pihaknya mendapati rumah jenis separa kekal itu sudah 80 peratus terbakar.

"Kami dimaklumkan ada enam orang dalam rumah iaitu mangsa, ibunya, datuk dan nenek serta dua lagi adik-beradik mangsa, namun lima orang berjaya keluar dan tidak perasan mangsa tiada ketika itu.

"Keluarga tidak dapat masuk kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan mangsa susulan api yang semakin marak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menemui mayat mangsa dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

Katanya, mangsa lain yang cedera ringan dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

"Kebakaran berjaya dipadam pada 12.20 tengah hari dan operasi tamat sepenuhnya pada 1.55 tengah hari," katanya.

Yusuf Khalish (gambar kecil) meninggal dunia dalam dalam kebakaran rumah di Kampung Teluk Pelandok. FOTO Ihsan pembaca.
Yusuf Khalish (gambar kecil) meninggal dunia dalam dalam kebakaran rumah di Kampung Teluk Pelandok. FOTO Ihsan pembaca.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 4:22 PM