ORANG ramai hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin Astra Zaneca di PPV WTCKL, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad.
ORANG ramai hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin Astra Zaneca di PPV WTCKL, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad.
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,000 pusat pemberian vaksin (PPV) membabitkan klinik dan hospital swasta akan beroperasi sebelum penghujung Jun ini bagi meningkatkan lagi kapasiti pengagihan vaksin negara.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pembabitan pihak swasta itu dijangka menyumbang kepada keupayaan untuk pemberian 45,000 dos vaksin sehari tertakluk kepada bekalan.

"Kita menyasarkan sebanyak 500 PPV klinik pengamal perubatan am swasta (GP) akan memberikan vaksin bermula 15 Jun ini dan kita menyasarkan sebanyak 1,000 klinik GP swasta akan dijadikan PPV sebelum 30 Jun ini.

"Saya harap berita ini dapat memberi satu penjelasan untuk meningkatkan lagi pemberian vaksin kepada rakyat kerana (saya) faham ramai bimbang dan khuatir bila akan diberikan vaksin," katanya selepas mengadakan lawatan di PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Khairy berkata, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sudah mengeluarkan arahan melalui Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) bertarikh 25 Mei lalu supaya memudahkan lebih banyak klinik swasta terbabit dalam PICK.

"Sebelum ini Bahagian Kawalan Amalan Perubatan Swasta KKM perlu pergi ke klinik swasta untuk buat lawatan sebelum diluluskan jadi PPV.

"Namun sekarang untuk memudahkan lebih banyak klinik swasta terbabit dalam PICK, maka Menteri Kesihatan melalui arahan itu, Bahagian Kawalan Amalan Perubatan Swasta KKM tidak lagi perlu membuat lawatan awal sebaliknya melakukan lawatan pemantauan selepas klinik berkenaan mula terbabit dalam PICK," katanya.

Beliau berharap semua Pengarah Kesihatan negeri dapat memudahkan pembabitan klinik dan hospital swasta sebagai PPV dalam PICK.

Mengenai cadangan supaya kerajaan membuka PPV pandu lalu, beliau berkata, projek perintis PPV itu sudah bermula di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan dan menunjukkan hasil yang baik.

"Ia memang cadangan yang baik dan projek perintisnya sudah dilakukan di USM Kubang Kerian. Bagaimanapun buat masa ini kita sedang merangka garis panduan yang lebih lengkap mengenainya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 4:07 PM