DUA daripada tiga bot nelayan Vietnam yang ditahan menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan. FOTO Rosli Ilham
DUA daripada tiga bot nelayan Vietnam yang ditahan menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Tiga bot nelayan asing ditahan selepas dikesan menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, semua bot terbabit ditahan sekitar jarak 31 hingga 35 batu nautika timur laut Kuala Kemaman, kira-kira jam 4.10 hingga 4.50 pagi.

Menurutnya, terdapat 24 nelayan Vietnam termasuk tiga tekong berusia antara 20 hingga 44 tahun dan mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pihak kami terserempak dengan bot terbabit sedang menangkap ikan dan kami mendapati ketiga-tiga bot mencurigakan berikutan ciri dan struktur fizikal yang menyerupai bot nelayan Vietnam namun menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan.

"Mereka mengemukakan permit kerja serta lesen bot yang meragukan sebelum kita menahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di Pejabat Maritim Malaysia di Kemaman, hari ini.

Rashidilhadi berkata, pihaknya turut menemui nombor pendaftaran asal bot nelayan Vietnam terbabit dan keadaan itu mendatangkan syak bot terbabit cuba mengelak daripada ditahan.

"Kita percaya sebaik bot itu kembali ke negara asalnya, mereka akan menukarkan semula nombor pendaftaran, "katanya.

Katanya, pihaknya turut merampas peralatan mencandat sotong serta bekalan diesel anggaran 1,500 liter dengan keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM2.4 juta.

"Nelayan dan hasil rampasan dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kemaman. Mereka akan menjalani saringan Covid-19 sebelum kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dan Akta Imigresen 1959/63.

"Pihak kami akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia untuk menyiasat sama ada ada pengusaha bot tempatan membenarkan nelayan asing ini menggunakan lesen mereka atau sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 4:49 PM