GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: "Kami tidak menyalahkan sesiapa dan menganggap Allah pinjamkan dia buat sementara," kata Suraya Mohd Taib, 24, ibu kepada bayi lelaki berusia enam bulan yang meninggal dunia selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di sebuah taska di Bukit Gedung, di sini, semalam.

Muhammad Nur Fatih dihantar ke Klinik Kesihatan Bayan Baru pada jam 9.30 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor.

Suraya berkata, dia menerima panggilan berhubung kejadian daripada pihak taska pada jam 9.15 pagi.

Katanya, dia dimaklumkan bahawa anak sulung itu tidak sedarkan diri dan dibawa ke klinik bagi rawatan lanjut.

"Saya dan suami sedang bekerja di sebuah kilang terus bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan itu sebelum dikejutkan dengan berita kematian.

"Kami reda serta tidak mahu membesarkan hal ini," katanya.

Jenazah anaknya itu dibawa pulang ke kampung halaman di Pengkalan Hulu, Perak untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati bayi itu dihantar ke taska oleh ibu bapanya pada jam 6.30 pagi seperti biasa sejak tiga bulan lalu.

Katanya, temubual dengan ibu bapa dan pekerja taska mengesahkan bahawa mangsa berada dalam keadaan baik dan sihat serta tidak menunjukkan sebarang masalah ketika dihantar ke premis berkenaan.

"Sejurus dihantar, pekerja taska berusia 20 tahun itu tertidur bersama bayi berkenaan namun sebaik tersedar, dia meninggalkan mangsa seketika pada jam 8 pagi untuk ke tandas.

"Ketika wanita terbabit datang semula 30 minit kemudian, dia mendapati bayi berkenaan tidak sedarkan diri dan kelihatan pucat lalu cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) tetapi tidak berjaya," katanya di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, bayi berkenaan kemudian dihantar ke klinik oleh pengusaha taska.

Doktor turut melakukan CPR namun bayi berkenaan disahkan meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut.

"Laporan bedah siasat mengesahkan bahawa kematian bayi berkenaan disebabkan pendarahan lama di kepala.

"Pihak hospital turut membuat saringan Covid-19 ke atas bayi berkenaan dan mendapati negatif.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 6:13 PM