Amir Abd Hamid

Seri Kembangan: Ketiadaan peruntukan undang-undang menyebabkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sukar mengambil tindakan terhadap majikan swasta yang memaksa pekerja hadir ke pejabat ketika wabak pandemik Covid-19 meningkat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata pihaknya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima banyak aduan berhubung tindakan majikan ini yang enggan dan ingkar peraturan bekerja dari rumah (BDR).

Menurutnya, masalah timbul berikutan tiada sebarang akta untuk JTKSM mengambil tindakan terhadap mereka.

"Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) hanya Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai kuasa bertindak terhadap majikan yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) itu.

"Sehubungan itu, kita mencadangkan penurunan kuasa kepada JTKSM untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang ingkar peraturan BDR dan cadangan ini akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

"Semalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah meluluskan bahawa JTKSM boleh mengambil tindakan terhadap yang melakukan kesalahan itu mengikut Akta 342 melalui penurunan kuasa.

"Di peringkat teknikal sudah diluluskan dan perkara ini akan dibawa ke peringkat jawatankuasa MKN petang ini untuk disyorkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengetuai operasi pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan SOP PKP 3.0 di sebuah kilang, di sini, hari ini.

Tinjauan bekerja dari rumah (BDR). Foto Arkib NSTP
Tinjauan bekerja dari rumah (BDR). Foto Arkib NSTP

Menurutnya, jika pihak MKN meluluskan penurunan kuasa itu, JTKSM akan terus melakukan penguatkuasaan untuk mengkompaun majikan yang ingkar SOP BDR kepada pekerja mereka.

"Majikan atau syarikat yang masih ingkar akan berdepan dengan kompaun sebanyak RM50,000 untuk syarikat dan RM10,000 bagi individu jika ingkar SOP BDR itu," katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan jumlah kakitangan awam yang bekerja di rumah sebanyak 80 peratus manakala kakitangan swasta kira-kira 40 peratus bagi mengehadkan pergerakan dalam tempoh PKP 3.0.

Arahan itu menjadikan kira-kira lapan juta rakyat di negara ini bagi kedua-dua sektor itu tidak perlu keluar bekerja dalam tempoh PKP 3.0 sekali gus membantu kerajaan mengawal pergerakan orang ramai.

Saravanan turut menegaskan bahawa penguatkuasaan Akta 446 tidak pernah dibatalkan sebaliknya ia sentiasa dilakukan bagi memastikan tahap pematuhan tinggi oleh majikan terutama di kala jangkitan Covid-19 semakin membimbangkan ketika ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berhubung pendekatan terbaik pemberian vaksin kepada pekerja industri kerana kluster di tempat kerja menjadi antara punca penularan Covid-19.

"Ia juga termasuk pekerja warga asing, kita juga bimbang dengan pekerja tanpa izin yang masih ramai dan kita menyeru supaya majikan atau pihak yang ada maklumat melaporkan dengan segera untuk diambil tindakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 3:11 PM