KERJA baik pulih dilakukan, hari ini, di stesen yang terbabit dalam kemalangan tren LRT dari Stesen KLCC sehingga Stesen Kampung Baru, Isnin lalu. FOTO Facebook Wee Ka Siong
KERJA baik pulih dilakukan, hari ini, di stesen yang terbabit dalam kemalangan tren LRT dari Stesen KLCC sehingga Stesen Kampung Baru, Isnin lalu. FOTO Facebook Wee Ka Siong
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya masih mengikut pelan alternatif bagi seksyen yang terbabit dalam pelanggaran tren, Isnin lalu, walaupun hanya satu landasan digunakan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pasukan pemeriksaan fizikal terdiri daripada 10 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memulakan kerja-kerja di lapangan, 12.19 tengah malam tadi.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati laluan kecemasan di sebelah kanan di lim rel 1447 tidak stabil akibat kesan pelanggaran iaitu patah di bahagian tapak dan perlu diambil tindakan pembaikan segera.

"Selain itu, tiga klip rel tidak dipasang pada bahagian rel pada lim rel 1445 dan lim rel 1444, namun Rapid Rail sudah memasang klip berkenaan serta-merta," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Ka Siong berkata, pasukan pemeriksaan APAD mengarahkan Rapid Rail menggantikan linear heat detector sensor cable yang rosak bermula di segmen terowong 126 sehingga segmen terowong 96 sepanjang kira-kira 28.5 meter.

"Ia adalah untuk memastikan sistem pengesanan kebakaran di dalam terowong berfungsi dengan baik dari Stesen KLCC sehingga Stesen Kampung Baru.

"Rapid Rail memaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian akan dilakukan dalam tempoh terdekat memandangkan ia adalah komponen keselamatan kritikal operasi utama bagi perkhidmatan LRT," katanya.

Beliau berkata, pengujian terhadap tren rollover bermula 3.08 pagi tadi mendapati simulasi pergerakan tren berada dalam keadaan baik.

"Pasukan pemeriksaan menyempurnakan misi mereka jam 4.30 pagi sebelum perkhidmatan LRT bermula dari 6 pagi hari ini.

"Pihak APAD akan memeriksa semula sebaik sahaja pihak Rapid Rail menyempurnakan kerja pembaikan dan pemasangan yang disyaratkan.

"APAD akan memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum kelulusan pemulihan operasi diberi kepada Rapid Rail," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 10:07 AM