Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Masih ada penduduk di daerah ini yang sambil lewa dalam memakai pelitup muka, malah pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya 85 peratus.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya mengeluarkan 1,594 kompaun atas pelbagai kesalahan sejak Mac tahun lalu hingga semalam.

"Sebanyak 75 peratus daripada keseluruhan kompaun adalah kesalahan tidak memakai pelitup muka dan tidak dipakai dengan sempurna, selain kesalahan tiada penjarakan sosial dan premis gagal mematuhi SOP.

"Ini menunjukkan masih ada orang ramai yang bersikap sambil lewa dan semua pihak perlu memainkan peranan untuk melandaikan lekuk Covid-19 apatah lagi ketika ini kadar jangkitan tinggi," katanya selepas pemeriksaan SOP PKP 3.0 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Pemeriksaan berkenaan turut disertai anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Manjung.

Tinjauan di pasar raya itu mendapati suasana lengang dan kebanyakan pengunjung dilihat datang sendirian untuk membeli barang keperluan serta mematuhi SOP.

Nor Omar berkata, pihaknya akan mengetatkan pemeriksaan di empat sekatan jalan raya setiap sempadan daerah untuk menyekat pergerakan orang ramai merentas daerah dan negeri.

Omar Sappi (tengah) memeriksa pendaftran masuk di Mysejahtera pelanggan pada pemeriksaan SOP PKP 3.0 di pasar raya di Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Omar Sappi (tengah) memeriksa pendaftran masuk di Mysejahtera pelanggan pada pemeriksaan SOP PKP 3.0 di pasar raya di Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 8:44 PM