KEADAAN di Gaza selepas beberapa bangunan dimusnahkan.
KEADAAN di Gaza selepas beberapa bangunan dimusnahkan.

Mahaizura Abd

Kuala Lumpur: Majoriti penduduk Gaza yang dirawat akibat cedera dalam 11 hari serangan rejim zionis Israel, sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang juga rakyat Malaysia tunggal di Palestin, Nadir Al Nuri Kamarulzaman berkata, mereka semakin sembuh, namun masih memerlukan pemantauan dan rawatan susulan.

"Penduduk yang dirawat di fasiliti perubatan tempatan ialah mereka yang alami cedera ringan manakala bagi kes khas termasuk parah dan serius mendapat bantuan rawatan di Mesir.

"Kini, majoriti yang cedera ringan itu dalam fasa pemulihan dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, namun mereka masih lagi memerlukan rawatan susulan," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas berkaitan proses pemulihan Gaza, Nadir berkata, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menggerakkan tugas membaik pulih dan membangunkan semula infrastruktur yang musnah akibat serangan Israel.

"Selepas dua hari gencatan senjata diumumkan, penduduk Gaza melancarkan kempen sukarelawan mega bagi membersihkan kawasan yang terjejas.

"Malah, jawatankuasa khas juga dibentuk bagi menilai jumlah kerosakan dan kerugian kemusnahan di Semenanjung Gaza.

"Jawatankuasa ini juga akan menentukan pihak mana yang akan menguruskan kerja membaik pulih dan membangunkan semula mana-mana bangunan, kilang serta infrastruktur lain yang musnah," katanya.

Di peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau berkata, mereka akan menggerakkan projek berskala kecil bagi membantu memulihkan Gaza.

"Untuk membuat penilaian dan menentukan pihak mana bertanggungjawab dalam tugas pemulihan, memakan masa sekurang-kurangnya sebulan.

"Justeru, kita akan cuba sedaya upaya membantu menjalankan projek kecil seperti membaik pulih rumah penduduk dan yang bersesuaian berdasarkan pengalaman perang pada 2014.

"Sebenarnya, tiada pihak pun yang akan bantu aspek ini, jadi kita akan cuba buat mana yang termampu," katanya.

Isnin lalu, Kementerian Kesihatan di Gaza mengumumkan angka korban penduduk Palestin mencecah 253 orang termasuk 66 kanak-kanak, 39 wanita dan 17 warga emas selain 1,948 lagi cedera akibat serangan Israel.

Serangan udara selama 11 hari sejak 10 Mei lalu itu, turut memusnahkan rumah dan infrastruktur awam yang penting di Gaza.

Berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 6,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, kira-kira 800,000 kekurangan bekalan air bersih dan elektrik yang terhad selain kemusnahan itu turut menjejaskan sistem penjagaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 5:39 PM