GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Polis Putrajaya mengeluarkan 54 kompaun kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa 12 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, sebanyak 39 kompaun dikenakan terhadap individu bagi kesalahan merentas daerah dan negeri serta melanggar perintah kuarantin, manakala seorang dikompaun kerana menganjurkan aktiviti yang menyebabkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

"Sebanyak 14 individu dikompaun bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka dan gagal mendaftar masuk menerusi kod QR MySejahtera," katanya kepada media selepas memantau pematuhan masyarakat dan peniaga terhadap SOP yang diperketatkan berkuat kuasa Selasa lepas di Jalan Diplomatik Presint 15, di sini, malam tadi.

Mohd Fadzil berkata, rondaan pemantauan di sekitar Putrajaya akan memberi tumpuan di premis perniagaan dan pusat beli-belah untuk memastikan waktu perniagaan dihentikan 8 malam seperti yang diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kira-kira 7.30 malam, kereta peronda pasukan pemantauan akan memberi peringatan menerusi pembesar suara supaya peniaga dan orang awam tahu waktu yang dibenarkan akan berakhir," katanya.

Mengenai kes Covid-19 yang meningkat di pusat pentadbiran kerajaan itu yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon hijau, Mohd Fadzil berkata, ini kerana Putrajaya dikelilingi beberapa daerah di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Ada penjawat awam yang bertugas di sini tetapi tinggal di luar Putrajaya... ini menyebabkan pergerakan ulang-alik bagi urusan rasmi, bekerja, jual beli, sekolah dan lain-lain... mendedahkan Putrajaya kepada penularan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 9:00 AM