FOTO hiasan
FOTO hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ibu bapa perlu memberi lebih fokus kepada tahap kesihatan anak-anak bagi memastikan mereka bebas daripada gejala Covid-19.

Pakar Paediatrik Hospital Pakar Kuala Terengganu Dr Mohd Zuraizi Jaafar berkata, biarpun kadar jangkitan masih rendah, tetapi dalam usia itu, mereka lebih mudah dijangkiti.

Katanya, jika anak-anak didapati kurang menyusu, makan, kurang aktif, mulai selsema atau batuk, mereka perlu dirujuk segera ke hospital yang mempunyai pakar seperti hospital negeri.

"Terus berjumpa dengan pusat saringan Covid-19 di hospital dan maklumkan jika kita terdedah dengan pesakit yang dalam kuarantin atau rawatan.

"Sebab itu kawalan pergerakan kendiri sangat penting pada waktu ini kerana sesiapa saja boleh membawa balik jangkitan ke rumah.

"Pematuhan SOP juga penting dan kita perlu kurangkan bawa pulang risiko ke rumah yang akhirnya boleh menjangkiti anak-anak," katanya.

Beliau mengulas mengenai mengenai 48,261 kanak-kanak dan bayi sudah dijangkiti Covid-19 seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Dr Zuraizi yang juga Penyelaras MediCOM Terengganu berkata, ketika ini, kadar kemasukan kanak-kanak ke wad adalah tinggi walaupun secara kadar dalam statistik, peratusan jangkitan masih rendah.

Menurutnya, ia berkemungkinan berkait rapat dengan varian Covid-19 baru yang lebih agresif dan cepat tersebar.

Justeru, katanya ibu bapa perlu memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya terutama ketika berada di luar rumah.

"Ibu bapa juga perlu dapatkan vaksin Covid-19. Jangan berikan alasan atau bimbang dan percaya dengan maklumat tidak tepat di dalam media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 4:43 PM