GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kerajaan negeri bimbang kemungkinan berlaku peningkatan kes Covid-19 di negeri itu susulan pergerakan kenderaan yang banyak sebelum dan selepas perayaan Aidilfitri, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ini kerana peningkatan kes jangkitan ketika ini turut disumbangkan daripada kluster ketika Ramadan.

"Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, memang banyak pergerakan kenderaan sebelum dan selepas Aidilfitri, jadi kita bimbang akan wujud banyak kluster selepas ini.

"Ditambah pula, terdapat gambar tular segelintir individu yang pakai gelang merah jambu melanggar perintah tempoh kuarantin apabila keluar merata tempat.

"Ada yang pakai gelang merah jambu keluar beli barang di pasar termasuk ke pasar raya.

"Mereka ini ada yang pakai baju tangan panjang untuk menyorokkan gelang (merah jambu) yang dipakai, ia memberi risiko kepada orang lain dan menyebabkan penularan jangkitan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya turut mengesan penduduk negeri ini yang gagal hadir menerima suntikan vaksin, namun jumlahnya tidak setinggi seperti di Kelantan.

Katanya, ketidakhadiran mereka mendapatkan suntikan vaksin mungkin dipengaruhi sumber negatif di media sosial dan khabar angin mengenai kesan buruk vaksin, sedangkan vaksin mendatangkan kebaikan dalam membina imuniti berkelompok.

"Ada satu tempat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini, terdapat 129 individu yang gagal hadir daripada ribuan orang yang patut mendapat vaksin.

"Mereka yang tidak hadir (suntikan vaksin) ini seperti menganiaya masa orang lain yang terpaksa menunggu giliran di PPV.

"Saya hairan kenapa mereka perlu terpengaruh dengan berita tak sahih, ada yang tular ramai jururawat meninggal dunia dijangkiti Covid-19, walaupun sudah disuntik dua dos vaksin, semua itu tidak benar," katanya.

Justeru, katanya, masyarakat diminta tidak terlalu taksub dengan berita kes pembekuan darah akibat suntikan vaksin AstraZeneca di negara Barat berikutan purata kejadian itu berlaku empat kes dalam sejuta individu yang divaksin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 4:44 PM