GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kerajaan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) perlanjutan tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara yang tiba ke negara ini yang berkuat kuasa serta merta.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengambil kira situasi Covid-19 di dunia ketika ini Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk memperketatkan SOP Perlanjutan Tempoh Kuarantin Wajib ke atas Pengembara yang tiba di Malaysia

Menurutnya, semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RTPCR Covid-19 tiga (3) hari sebelum berlepas dan hanya keputusan ujian negatif boleh menaiki penerbangan untuk masuk ke Malaysia.

"Semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RTPCR Covid-19 semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa.

"Tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dilanjutkan daripada 14 hari kepada 21 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan arahan kuarantin wajib selama tempoh 21 hari ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia yang tiba dari India dikekalkan.

"Tempoh kuarantin wajib dari semua negara lain dilanjutkan daripada 10 hari kepada 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Namun begitu, tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama tujuh hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin 21 hari) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko yang dijalankan pada hari ke-14," katanya.

Beliau berkata, kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di stesen kuarantin yang sama.

"Ujian ulangan RT-PCR Covid-19 dilakukan pada hari ke 10 dan sekiranya dilanjutkan tempoh kuarantin sehingga 21 hari, ujian ulangan RT-PCR Covid-19 dibuat pada hari ke-18.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 7:29 PM