PETUGAS kesihatan bersiap siaga memakai pelindung muka dan PPE sebelum memulakan saringan Covid-19. FOTO Aziah Azmee.
PETUGAS kesihatan bersiap siaga memakai pelindung muka dan PPE sebelum memulakan saringan Covid-19. FOTO Aziah Azmee.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan Perak menyumbangkan pelindung muka (face shield) dan kelengkapan kebersihan kepada lebih 5,000 anggota keselamatan yang bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) di negeri ini.

Pejabat Menteri Besar Perak melalui kenyataannya berkata, pengumuman itu dibuat Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika pertemuannya bersama pegawai tertinggi pasukan keselamatan yang diadakan secara maya di pejabat beliau hari ini.

Katanya, antara yang menyertai pertemuan itu ialah Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak, Khairul Ridzuan Mat Said; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Perak, Noor Azam Johari dan Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Negeri Perak, Kamarul Idzham Kamal.

Menurutnya, dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu, Saarani juga diberikan taklimat ringkas mengenai situasi terkini pelaksanaan PKPD oleh jabatan yang berkenaan.

Saarani pada majlis berkenaan turut menzahirkan penghargaan atas pengorbanan dan semangat setiap warga pasukan keselamatan dalam memikul amanah dan menjadi sandaran masyarakat untuk membendung penularan Covid-19.

"Kerajaan negeri memandang berat keperluan setiap anggota yang bertugas sepanjang PKPD ini mendapat perlindungan secukupnya termasuk dibekalkan pelindung muka dan kelengkapan kebersihan.

"Kita yakin terhadap kesungguhan kerjasama seluruh pegawai dan anggota pasukan keselamatan dalam mencapai matlamat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang menampakkan 'trend' membimbangkan kebelakangan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 5:34 PM