GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri memperuntukkan RM400,000 untuk disalurkan kepada penduduk yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 15 mukim di Besut yang bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, peruntukan itu diluluskan selepas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meninjau perkembangan PKPD di daerah berkenaan.

"Kerajaan negeri sangat mengambil cakna tentang perkembangan Covid-19 di Terengganu terutamanya di Besut yang dikenakan PKPD berkuat kuasa semalam hingga 4 Jun depan.

"Justeru, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sumbangan kepada penduduk kawasan terbabit dan diharapkan bantuan itu dapat membantu rakyat yang terjejas," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Nor turut menasihatkan semua pihak untuk terus berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, rakyat Terengganu diingatkan untuk menjaga diri dan keluarga serta mematuhi SOP ditetapkan termasuk saranan 'lockdown' kendiri sebagai langkah mengekang Covid-19.

Media sebelum ini melaporkan PKPD akan dilaksanakan di 15 mukim di Besut selama 14 hari bermula 22 Mei sehingga 4 Jun ini.

Mukim terbabit ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 6:31 PM