ANGGOTA bomba dan Angkatan Perthanan Awam Malaysia (APM) membawa mangsa dengan pengusung turun dari Bukt Hutan Simpan Tawai, Telupid, awal pagi tadi. FOTO ihsan Bomba dan APM
ANGGOTA bomba dan Angkatan Perthanan Awam Malaysia (APM) membawa mangsa dengan pengusung turun dari Bukt Hutan Simpan Tawai, Telupid, awal pagi tadi. FOTO ihsan Bomba dan APM
Hazsyah Abdul Rahman


Telupid: Guru sekolah rendah meninggal dunia ketika mendaki bukit di Bukit Hutan Simpan Tawai, dekat sini semalam.

Dalam kejadian 11.40 pagi itu, Jahir Korotok, 29, dikatakan tiba-tiba pengsan sebelum meninggal dunia.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sandakan, Abdullah Sabaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.45 pagi memaklumkan sekumpulan 10 pendaki termasuk guru itu sesat di bukit berkenaan.

"Kumpulan itu mendaftar pendakian pada 8 pagi dan mula mendaki sejam kemudian. Pada 11.45 pagi, seorang daripada pendaki meminta bantuan kerana sesat.

"Sepasukan anggota APM Telupid melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan berjaya menemui kumpulan itu beberapa jam kemudian," katanya.

Bagaimanapun, katanya, seorang pendaki didapati tidak sedarkan diri dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dimaklumkan untuk bantuan membawa turun mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.06 pagi hari ini sebelum lima anggota dikerah ke lokasi itu yang terletak 1,360 meter dari balai.

"Anggota tiba di lokasi pada 4.48 pagi tadi seterusnya mendaki ke tempat mangsa. Mangsa disahkan meninggal dunia dan jenazah dibawa turun menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya yang memberitahu operasi tamat pada 5.57 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 2:41 PM