Petugas kesihatan membuat ujian calitan COVID-19 terhadap kontak yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UTM. FOTO IHSAN JKNJ
Petugas kesihatan membuat ujian calitan COVID-19 terhadap kontak yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UTM. FOTO IHSAN JKNJ
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 64 kes positif Covid-19 dikesan membabitkan Kluster Lingkaran Ilmu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam kenyataan berkata, seramai 828 individu terdiri daripada kakitangan dan penuntut sudah disaring, manakala 501 individu masih menunggu keputusan.

"Ujian dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Kulai dengan kerjasama Pusat Kesihatan UTM menerusi saringan bergerak (mobile sampling) di sekitar kawasan kolej.

"Seramai 470 kontak termasuk kakitangan dan pelajar telah disaring di pekarangan Masjid UTM sehingga 21 Mei.

"Terdapat satu kes positif berjaya dikesan, menjadikan jumlah kes terkumpul sebanyak 64 kes bagi Kluster Lingkaran Ilmu," kata kenyataan itu.

Menurut JKNJ, keseluruhan 838 kontak sudah disaring bagi kluster berkenaan.

Sementara itu, UTM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedng menjalankan ujian saringan secara besar-besaran sebagai pengesanan awal Covid-19 dalam kalangan warga kampus yang sedang menjalani kuarantin ketika ini.

Katanya, keputusan ujian itu dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari, malah sepanjang PKPD, klinik universiti itu turut ditutup.

"Penutupan bagi membolehkan keutamaan diberi kepada perkhidmatan klinik bergerak yang akan meliputi semua kolej kediaman di dalam kawasan kampus.

"Pemeriksaan yang dibuat turut bertujuan untuk merawat penuntut yang mempunyai penyakit serta kecemasan lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 2:09 PM