GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Sebanyak 1,201 kes positif Covid-19 dicatatkan di Besut dalam tempoh April hingga kelmarin dengan 14 kematian direkodkan setakat ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, semua kes positif itu dikesan hasil ujian sebanyak 16,764 dengan kadar positif lebih tujuh peratus sekali gus menunjukkan masih banyak kes di dalam komuniti perlu dikesan.

Menurutnya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1,900 peratus berbanding hanya hanya 60 kes pada Mac lalu.

"Situasi Covid-19 di Besut disumbangkan dua kluster besar iaitu Kluster Tok Has yang bermula di sebuah kafe merebak ke pusat senaman, bank, beberapa sekolah dan akhirnya masuk ke komuniti sehingga ke Setiu, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Kluster ini menghasilkan sebanyak 474 kes positif dan ia masih berkembang pesat.

"Sama seperti Kluster D' Lahar bermula daripada pekerja sebuah syarikat akhirnya merebak ke dalam komuniti dan menghasilkan 152 kes positif.

"Pengeluaran kompaun RM10,000 tidak mencukupi jika dibandingkan dengan impak yang sangat besar akibat kluster ini apatah lagi jika membabitkan kematian warga tua yang tidak bersalah," katanya di laman Facebook.

Dr Nor Azimi berkata, terdapat dua lagi kluster baharu iaitu kluster Tok Dor yang membabitkan sebuah pondok pengajian dan kluster Jalan Tuan Hitam yang membabitkan sebuah pasar raya.

Katanya, kluster Tok Dor yang merekodkan 32 kes positif sudah menular ke Setiu dan Kuala Nerus manakala 44 daripada 97 pekerja pasar raya berkenaan dikesan positif dalam tempoh satu minggu bagi kluster Jalan Tuan Hitam.

"Bermula hari ini sehingga 4 Jun depan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Besut dengan mengambil kira situasi Covid-19 yang sudah tidak terkawal dan jangkitan sudah merebak jauh dalam komuniti.

"Warga Besut kena bersungguh-sungguh untuk menang dengan kekal duduk di rumah, mengehadkan pergerakan, mengelak perkumpulan beramai-ramai dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana ini saja mampu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Kita tidak mahu kematian demi kematian dilaporkan dari Besut dan ketika ini masih ada lima warga Besut berada di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 10:36 AM