Lelaki ditahan polis selepas didakwa membawa pisau dan mengganggu jemaah solat di Masjid At-Taqwa, Gelugor di Georgetown semalam. Foto Ihsan Pembaca
Lelaki ditahan polis selepas didakwa membawa pisau dan mengganggu jemaah solat di Masjid At-Taqwa, Gelugor di Georgetown semalam. Foto Ihsan Pembaca
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Lelaki ditahan polis di Masjid At-Taqwa, Gelugor di sini, semalam selepas mengganggu jemaah yang menunaikan solat.

Lelaki berusia 35 tahun itu didapati membawa sebilah pisau yang disimpan di dalam beg sandangnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 8.25 malam.

Menurutnya, lelaki terbabit didakwa berlegar di dalam masjid dengan memegang pisau sambil mengganggu jemaah.

"Suspek yang memakai baju Melayu warna hijau kemudian ditahan polis yang ke tempat kejadian.

"Pemeriksaan menemukan sebilah pisau berukuran 13 sentimeter di dalam beg sandang warna hitam dibawanya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, siasatan mendapati suspek dari Lebuh Mahsuri, Bayan Baru itu tidak bekerja.

Katanya, suspek turut mempunyai dua rekod lampau berkait jenayah dan dadah.

"Suspek direman selama tiga hari sehingga 24 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 10:49 PM