Mahaizura Abd Malik dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Orang ramai digalakkan menggunakan dua keping pelitup muka serta pelindung muka sekiranya berada di tempat awam yang sesak dan lokasi berisiko tinggi seperti hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemakaian pelitup muka fabrik tidak digalakkan ketika berada di hospital dan perlu menggunakan pelitup muka tiga lapis.

"Ketika ini, kerajaan belum lagi mewajibkan pemakaian dua keping pelitup muka, namun ia disarankan terutama ketika berada di tempat sesak serta lokasi berisiko tinggi seperti di hospital.

"Dengan penggunaan dua keping pelitup muka serta pelindung muka, ia dipercayai berkesan mengelakkan 95 peratus jangkitan dari virus memandangkan ada laporan menyatakan jangkitan Covid-19 tidak hanya melalui cecair malah melalui udara (airborne)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Mengulas lanjut mengenai tindakan ujian saringan Covid-19 dalam skala besar, beliau berkata, pihaknya menggalakkan individu untuk tampil membuat ujian saringan di makmal swasta.

"Keupayaan kita melaksanakan ujian saringan daripada 79 makmal adalah 104,885 ujian RT-PCR dan meningkatkan ujian RTK-Antigen hampir 50,000 dalam tempoh sehari.

"Kita memang menggalakkan individu supaya tampil ke makmal swasta untuk melaksanakan ujian. Kita dapati 31 makmal dan 13 makmal universiti masih ada keupayaan untuk melaksanakan RT-PCR dan RTK-Antigen.

"Kita galakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), majikan atau kerajaan negeri untuk melaksanakan ujian RTK-Antigen dengan keputusannya boleh dipercepatkan untuk mengesan kes positif," katanya.

PELITUP muka. FOTO ARKIB NSTP
PELITUP muka. FOTO ARKIB NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 6:54 PM