FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan dan sekuriti makanan negara sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sektor pertanian dan industri makanan akan terus diletakkan sebagai satu perkhidmatan perlu dan dibenarkan beroperasi sepanjang masa dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu.

"Mafi mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mengetatkan lagi PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa dalam usaha untuk mengawal dan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.

"Mafi juga mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan golongan petani, nelayan dan penternak terus diberi kebenaran untuk beroperasi sepanjang PKP bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejajar dengan usaha itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, Mafi juga mengambil pelbagai langkah dan usaha bagi terus memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dalam apa jua keadaan.

Katanya, kerajaan akan memastikan bekalan makanan bagi bahan makanan utama iaitu beras, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan terus berada pada tahap stabil dan mencukupi.

Pada masa sama, Ronald juga mengingatkan golongan petani, nelayan dan penternak serta pengusaha industri agromakanan secara keseluruhannya sentiasa mematuhi SOP dan menjaga keselamatan diri sepanjang masa.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan kebajikan barisan hadapan sektor agromakanan ini dipelihara dan diberi keutamaan.

Selain itu, perkhidmatan bilik gerakan Crisis Management Centre (CMC) juga telah dibuka semula selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang berfungsi sebagai pusat utama penerimaan panggilan, pusat amaran awal, centralized command centre dan pusat pelaporan situasi harian untuk mendapatkan maklumat terkini setiap sektor dan industri.

Sistem pemantauan data dan isu bekalan harian (Sitrep) seluruh negara yang dilaksanakan oleh Mafi sejak PKP 1.0 juga akan terus menjana status semasa dan laporan bekalan makanan ke atas lapan komoditi utama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 6:12 PM