Keadaan paras air sungai yang melimpah ke dalam kawasan perkampungan menyebabkan persisiran jalan mula dinaiki air ketika tinjauan banjir kilat di Kampung Morten, Melaka, 18 Mei lalu. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Keadaan paras air sungai yang melimpah ke dalam kawasan perkampungan menyebabkan persisiran jalan mula dinaiki air ketika tinjauan banjir kilat di Kampung Morten, Melaka, 18 Mei lalu. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Nuraliawati Sabri


Melaka: Kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di negeri ini tutup sepenuhnya, petang hari ini.

PPS terakhir yang ditutup adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek pada 4.23 petang yang sebelum ini menempatkan seramai 153 mangsa daripada 36 keluarga.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah selepas keadaan banjir kembali pulih.

"Kesemua mangsa banjir seramai 669 orang membabitkan 149 keluarga dari tiga daerah sudah pulang ke kediaman mereka.

"Sebelum ini, 10 PPS dibuka membabitkan tujuh di daerah Melaka Tengah, dua di Jasin dan satu di Alor secara berperingkat bermula pada Isnin membabitkan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Batu Berendam," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Berikutan hujan lebat berterusan bermula awal pagi Isnin lalu, sebanyak 22 kawasan di negeri ini terjejas selepas dinaiki air.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 554 orang pada Selasa lalu, berbanding hanya 321 petang Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 9:04 PM