Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 18 kluster baharu Covid-19 di Selangor, Kuala Lumpur, Sarawak, Johor, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Melaka dan Labuan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama yang dikenal pasti adalah Kluster Persiaran Perbandaran dilaporkan di Petaling, Klang dan Hulu Langat, Selangor dengan 25 kes dikesan positif.

"Kluster kedua pula adalah Kluster Industri Balakong Tiga yang dilaporkan di Hulu Langat, Sepang dan Petaling, Selangor membabitkan 19 kes positif.

"Kluster Jalan Wan Kadir yang dilaporkan di Kepong, Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras, Kuala Lumpur serta Klang, Selangor dikenali pasti sebagai kluster ketiga dengan lapan kes positif.

"Selain itu, Kluster Jalan Simpang Tiga yang dilaporkan di Kuching, Samarahan, Serian dan Asajaya, Sarawak dengan 14 kes dikesan positif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Jalan Datin Halimah yang dilaporkan di Johor Bahru, Johor membabitkan 10 kes positif.

"Turut dikesan di Johor adalah Kluster Jalan Mengkibol yang dilaporkan di Kluang dengan 25 kes positif.

"Seterusnya adalah Kluster Jalan Selat yang dilaporkan di Manjung, Perak apabila mencatatkan 13 kes positif.

"Kluster kelapan yang dikenal pasti adalah Kluster Industri Senawang yang dilaporkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan selepas mencatatkan 24 kes positif," katanya.

Beliau berkata, kluster kesembilan dikenal pasti adalah Kluster Sungai Keluang 2 yang dilaporkan di Barat Daya, Timur Laut dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dengan 24 kes dikesan positif dalam kluster berkenaan.

"Satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Industri Kelemak yang dilaporkan di Alor Gajah, Melaka apabila mencatatkan 25 kes positif.

"Kluster ke-11 yang dikenal pasti adalah Kluster Jalan Kota Raja yang dilaporkan di Klang, Selangor dengan 37 kes dikesan positif.

"Kluster Kampung Mujahidin yang dilaporkan di Kuala Langat, Selangor pula mencatatkan 41 kes positif," katanya.

Menurutnya, kluster ke-13 yang dikenal pasti adalah Kluster Sri Penara yang dilaporkan di Cheras, Kuala Lumpur dengan 29 kes positif.

"Turut dilaporkan kluster baharu di Kuala Lumpur adalah Kluster Taman Setiawangsa yang dilaporkan di Titiwangsa dengan 13 kes positif.

"Kluster ke-15 dikenal pasti adalah Kluster Jalan Surau Stulang yang dilaporkan di Johor Bahru, Johor dengan 11 kes positif.

"Satu lagi kluster yang dikenal pasti adalah Kluster Susur Larut yang dilaporkan di Larut, Matang dan Selama, Perak dengan 42 kes dikesan positif," katanya.

Menurut beliau, Kluster Jalan Tanjung Minyak yang dilaporkan di Melaka Tengah, Melaka menjadi kluster ke-17 yang dikenal pasti dengan 24 kes positif.

"Kluster terakhir dikenal pasti hari ini adalah Kluster Simpang Sahari yang dilaporkan di Labuan dengan sembilan kes positif," katanya.

Menurutnya, sebanyak 1,984 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 1,455 kluster dilaporkan tamat serta 529 kluster masih aktif setakat hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 7:01 PM