Tangkap layar gambar buaya tembaga yang dipanggil adik mat semakin besar dan mendiami lombong tinggal di Kampung Tepoh. FOTO IHSAN PEMBACA
Tangkap layar gambar buaya tembaga yang dipanggil adik mat semakin besar dan mendiami lombong tinggal di Kampung Tepoh. FOTO IHSAN PEMBACA
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri akan memasang dua perangkap buaya di lombong tinggal Kampung Tepoh dalam tempoh terdekat.

Orang ramai sebelum ini merayu pihak bertanggungjawab segera menangkap buaya tembaga dipanggil dengan gelaran adik mat itu kerana membahayakan keselamatan orang ramai.

Penduduk bimbang apabila video berdurasi 20 saat yang tular di media sosial memaparkan buaya jinak itu kini semakin membesar malah agresif berbanding sebelum ini.

Penduduk menjadi bimbang apabila video berdurasi 20 saat yang tular di media sosial memaparkan buaya jinak itu kini semakin membesar malah agresif berbanding sebelum ini.

Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya sudah menjalankan tinjauan di lombong tinggal itu bagi mengenal pasti lokasi strategik untuk menempatkan dua perangkap buaya di kawasan berkenaan.

"Kami sendiri terkejut melihat saiz adik mat sekarang yang sangat besar malah berpotensi mengancam keselamatan orang awam.

"Pada 2019, kami sudah menjalankan operasi dan menempatkan dua perangkap di situ untuk menangkap adik mat tetapi gagal.

"Perangkap itu diletakkan di kawasan itu selama tiga bulan tetapi kelibat adik mat gagal dikesan sepanjang tempoh itu membuatkan operasi untuk menangkap buaya itu dihentikan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, selepas dua tahun membuat pemantauan, kelibat buaya itu sudah tidak kelihatan di lombong berkenaan.

"Sehinggalah kami dikejutkan dengan perkongsian video terbaru adik mat yang sudah bersaiz besar ketika diberi makan penduduk.

"Semalam kami ada pergi ke lombong tinggal itu dan mendapati ada bekas dan kesan perut ayam yang dipercayai makanan diberikan kepada adik mat.

"Buaya itu tidak ada pemilik malah ia bukan dibela seperti didakwa tetapi buaya itu sejak kecil diberi makan oleh segelintir penduduk dan pengunjung," katanya.

Menurutnya, sebab utama buaya itu kembali muncul kerana berlaku pembangunan di sekitar kawasan berkenaan sekali gus menyebabkan tempat berteduh buaya itu musnah.

"Adik mat memang jinak sejak kecil oleh itu tidak hairanlah ia berani muncul di khalayak ramai.

"Bagaimanapun orang ramai tetap perlu berhati-hati dan jangan mengambil risiko mendekati haiwan liar itu kerana tabiatnya tidak boleh dijangka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 5:11 PM