ANGGOTA tentera dan anggota polis membuat persiapan di laluan lorong tikus di Kampung Pauh Lima pada 18 Mei lalu berikutan kawasan tersebut dilaksanakan PKPD sehingga 1 Jun 2021. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA tentera dan anggota polis membuat persiapan di laluan lorong tikus di Kampung Pauh Lima pada 18 Mei lalu berikutan kawasan tersebut dilaksanakan PKPD sehingga 1 Jun 2021. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis Kelantan menafikan dakwaan 200 penduduk di Kampung Pauh Lima yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) lari meninggalkan kawasan terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata perkara itu yang tular sejak semalam melalui aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.

"Hasil siasatan mendapati, dakwaan mengatakan penduduk meninggalkan kawasan berkenaan bagi mengelak daripada menjalani ujian Covid-19 adalah palsu.

"Kita menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu dan sentiasa berwaspada dengan penyebaran maklumat atau diragui kesahihannya.

"Individu yang menyebar berita palsu boleh diambil tindakan mengikut Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM) 1998," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Shafien turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita tanpa merujuk kesahihannya daripada pihak bertanggungjawab.

Media sebelum ini melaporkan, PKPD dilaksanakan di Kampung Pauh Lima,

Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, kelmarin sehingga 1 Jun membabitkan 1,032 penduduk.

Susulan pelaksanaan PKPD, sebanyak 10 sekatan jalan raya (SJR) dilakukan masing-masing enam di Bachok dan empat di Kota Bharu.

Pada masa sama, 12 laluan tikus turut ditutup bagi menyekat pergerakan penduduk di kawasan berkenaan.

From: Fazlina

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 12:07 PM