Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 15 mukim di Besut, Terengganu, empat mukim di Perak, dua di Kelantan dan satu di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kawasan terbabit adalah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut dalam daerah Besut.

Empat mukim di Perak yang dilaksanakan PKPD adalah Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta (meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan), Hulu Bernam Timur di Perak; Rumah Banjir Kuala Teh di Jerantut, Pahang serta Kampung Terusan, Pasir Tumboh di Kota Bharu dan dan Kepulauan Tumpat di Kelantan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua kawasan PKPD itu akan dilaksanakan bermula 22 Mei sehingga 4 Jun ini.

"PKPD secara meluas di Besut itu berikutan merekodkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang mendadak.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sembilan daripada 17 kluster aktif di negeri berkenaan membabitkan daerah Besut yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai PKPD di Perak, Ismail Sabri berkata, KKM mengesahkan berlaku peningkatan 119.3 peratus kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari (5 Mei sehingga 18 Mei) dengan 2,035 kes berbanding 928 kes (12 April sehingga 4 Mei).

Menurutnya, peningkatan kes itu membabitkan empat mukim berkenaan.

"Rumah Banjir Kuala Teh pula merekodkan lapan kes positif Covid-19 setakat ini dengan kadar positif 36.36 peratus, manakala 48 kes positif dilaporkan di Kampung Terusan dan 22 kes di Kepulauan Tumpat," katanya.

Justeru, katanya, PKPD itu akan memudahkan KKM membuat pengesanan awal dan mengawal pergerakan penduduk seterusnya mengekang penularan jangkitan ke komuniti lain.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 6:05 PM