ORANG ramai terutama warga emas sedang menunggu giliran temujanji mereka untuk pemberian vaksin COVID-19 di PPV Dewan 2020, Kangar. FOTO Aizat Sharif
ORANG ramai terutama warga emas sedang menunggu giliran temujanji mereka untuk pemberian vaksin COVID-19 di PPV Dewan 2020, Kangar. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

Kangar: Ketidakpatuhan orang ramai terhadap waktu temu janji menyebabkan berlaku kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan 2020, di sini, semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof berkata, minggu ini, penerima vaksin di PPV berkenaan terbahagi kepada tiga kategori iaitu penerima dos pertama dari senarai aplikasi My Sejahtera, penerima dos kedua yang diberikan angka giliran yang berbeza dan penerima dos pertama dari agensi lain.

"Berdasarkan maklumat yang kita terima, individu penerima dos pertama dari senarai aplikasi MySejahtera sememangnya mengikut waktu ditetapkan, namun ada individu untuk mengambil suntikan kedua datang tidak mengikut waktu ditetapkan.

'Contohnya, temujanji pada waktu petang tetapi individu berkenaan datang waktu pagi. Malah, ada juga aduan yang diterima ada individu yang datang sehari awal daripada waktu temujanji yang ditetapkan.

"Selain itu, ada yang datang dua atau tiga jam awal daripada waktu temujanji menyebabkan berlaku pertembungan dengan individu yang sudah ditetapkan temujanji pada waktu berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPV Dewan 2020, di sini hari ini.

Azman berkata, apabila orang ramai sudah mula memenuhi kawasan itu, warga emas yang tiba untuk menerima suntikan vaksin itu terpaksa beratur lama.

Malah, katanya, kesesakan juga menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) sukar dipatuhi menyebabkan petugas barisan hadapan terpaksa menegur berulang kali.

Katanya, pihaknya dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengambil maklum isu dan aduan berkenaan dan sudah dibawa ke perbincangan bersama semua agensi berkaitan bagi penambahbaikan.

"Tindakan yang diambil oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) adalah meningkatkan kepada kapasiti maksimum pemberian dos vaksin di Dewan 2020 kepada 1,400 sehari dan memberikan vaksin kepada mereka yang datang awal sebagai cara mengelakkan mereka daripada terus berkumpul.

"Selain itu, kita turut membuka dewan lebih awal walaupun ia sepatutnya dibuka mulai jam 8 pagi setiap hari, pada masa sama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut diarahkan untuk mengatur pergerakan orang ramai supaya tidak bersesak dan mempercepatkan prosedur bagi mengurangkan kesesakan.

"Malah, kita turut menambah bilangan khemah dan kerusi di luar dewan sebagai kawasan menunggu, memperkenalkan sistem nombor untuk kakitangan jabatan dan agensi serta mereka yang menerima dos pertama," katanya.

Beliau berkata, dua lagi PPV dijadualkan dibuka iaitu di Dewan Sri Melati, Beseri pada 24 Mei ini dan Dewan Warisan, Kangar pada 8 Jun.

"Dalam pada itu, berdasarkan maklumat dari JKN, terdapat hampir 100 individu yang tinggal di luar Perlis tetapi mendaftar untuk menerima vaksin di sini.

"Kita meletakkan mereka di bahagian lain dewan untuk tujuan keselamatan sebelum mereka boleh menerima vaksin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 5:09 PM