JOYNAL Abadin dipercayai membunuh rakan senegaranya dalam pergaduhan di sebuah kedai menjual kereta terpakai di Klang, 8 Mei lalu. FOTO Ihsan PDRM
JOYNAL Abadin dipercayai membunuh rakan senegaranya dalam pergaduhan di sebuah kedai menjual kereta terpakai di Klang, 8 Mei lalu. FOTO Ihsan PDRM
BERNAMA

Shah Alam: Polis sedang mengesan seorang lelaki Bangladesh yang dipercayai membunuh rakan senegaranya dalam pergaduhan di sebuah kedai menjual kereta terpakai di Klang, 8 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, Joynal Abadin, 40-an, yang cedera ditoreh di tangan kiri ketika pergaduhan itu, melarikan diri selepas dirawat di klinik berhampiran.

Beliau berkata pergaduhan melibatkan kedua-dua lelaki Bangladesh berkenaan dipercayai berlaku pada kira-kira 2.00 petang di Bandar Baru Klang.

"Dalam kejadian itu, seorang daripada mereka maut disyaki dipukul dengan senjata di bahagian kepala manakala seorang lagi (Joynal) cedera akibat torehan pisau di tangan kiri dan melarikan diri selepas mendapatkan rawatan di klinik berhampiran," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nurulhuda meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Joynal supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di talian 03-3291 2222 atau pegawai penyiasat ASP You Swee Leong di talian 012-4071452 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 3:42 PM