Norzamira Che Noh


Shah Alam: Cadangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di Selangor perlu dilihat secara holistik mengambil kira pelbagai faktor, khususnya kesan sampingan terhadap ekonomi dan rakyat negeri itu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya tidak mahu terperangkap dalam membuat keputusan yang boleh mengelirukan semua pihak.

"Isunya bukan kita menolak (PKP penuh) tetapi kita perlu melihat secara keseluruhan dan tujuannya. Jika tujuannya mahu menghentikan penularan, kita perlu memperbanyakkan ujian saringan, jika tidak jangkitan akan berkumpul di dalam rumah.

"Begitu juga jika tujuannya untuk mempercepatkan imunisasi, kita kena cepatkan program vaksinasi. Malah, kita kena melihat juga golongan terpinggir dan semua pihak yang terbabit, adakah mereka ini sudah bersedia dengan penutupan penuh? Adakah semua tenaga mencukupi?

Amirudin pada sidang media situasi terkini COVID-19 negeri Selangor di Bangunan SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Amirudin pada sidang media situasi terkini COVID-19 negeri Selangor di Bangunan SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

"Kita tidak mahu terperangkap dalam keputusan yang dilakukan, yang akhirnya menimbulkan kekeliruan kepada semua pihak. Keputusan ini bukan sekadar petik jari, tutup atau buka sahaja, sebaliknya ia perlu dinilai dengan pelbagai faktor dan kesan sampingan lain," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Amirudin berkata, kuasa untuk melaksanakan tindakan PKP sepenuhnya hanya boleh diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri hanya memberi pandangan dan cadangan tertentu sahaja.

"Kita akan bermesyuarat bersama MKN sama ada esok atau Jumaat ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan meneliti takrifan pekerja barisan hadapan dalam sektor perkilangan sekiranya penutupan penuh dilaksanakan di negeri itu termasuk mendapatkan maklum balas daripada pemain industri mengenai kawalan dilakukan.

"Mereka (pihak industri) menyuarakan kebimbangan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara keseluruhan.

"Selain itu, kita akan melihat apa maksud 'essential service' (perkhidmatan perlu) serta 'essential' perkilangan kerana dalam ekonomi ini, ia memerlukan rantaian sendiri. Sekiranya rantaian ini terputus maka keseluruhan industri juga akan runtuh," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 7:12 PM