GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kes positif harian tertinggi dicatatkan hari ini sebanyak 6,075 kes adalah susulan kerajaan Selangor melakukan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran.

Pakar Virologi Universiti Malaya (UM) Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, virus itu sudah menular dengan teruk dalam komuniti dan sebelum ini ujian saringan yang dibuat tidak mencukupi.

Katanya, sebenarnya jangkitan memang tinggi sebelum ini tetapi tidak dilakukan saringan yang cukup dan menjadikan angka kes baharu diberikan tidak tepat.

"Sekarang apabila kerajaan Selangor buat saringan secara besar-besaran makan angka jadi tinggi, begitu juga kalau negeri lain pun buat perkara sana dan saya tak terkejut jika angka mencecah 8,000 kes sehari," katanya kepada Harian Metro.

Sebanyak 6,075 kes Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan ia kes tertinggi sejak pandemik ini bermula tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus menjadi negeri yang merekodkan kes tertinggi, 2,251 kes.

Menurutnya, ia diikuti Johor, 699 kes: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 660 kes; Kedah, 455 kes dan Kelantan 441 kes

Menurut Dr Sazaly, perkara paling dibimbangi jika angka positif melonjak tinggi adalah sistem kesihatan boleh lumpuh dan kerajaan perlu bersedia berdepan dengan pelbagai kemungkinan termasuk menyediakan tanah untuk perkuburan.

"Kita risau bila sistem kesihatan kita lumpuh dan situasi panik berlaku, pakar-pakar sudah mengingatkan kita akan berada di tahap ini jika tidak ambil langkah awal.

"Kedegilan orang ramai, pemimpin masyarakat dan 'influencer' mematuhi SOP (prosedur operasi standard) menunjukkan kita tidak serius dalam isu pandemik ini.

"Apabila kita tidak serius, maka kita akan tanggung akibatnya dan tidak hairan jika jumlah kematian mencecah 80 hingga 100 sehari," katanya.

Ditanya langkah kerajaan untuk tidak melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh, Dr Sazaly berkata, kerajaan perlu bersedia sekiranya sistem kesihatan lumpuh dengan menyediakan tangki oksigen yang cukup, pusat kuarantin lebih besar dan tanah perkuburan.

"Saya cadangkan kerajaan memberikan tanah yang lebih besar untuk perkuburan. Kita perlu ambil iktibar apa yang berlaku di India apabila pusat pembakaran mayat tidak cukup sehingga mereka terpaksa membuang mayat dalam sungai," katanya.

Katanya, adalah lebih malang sekiranya sistem kesihatan negara kita hampir lumpuh apabila kadar kematian melonjak naik secara drastik tetapi memandang ekonomi lebih penting.

"Jika kita memandang ekonomi lebih penting daripada nyawa, kita sediakan kubur lebih banyak. Bagi saya ekonomi akan lumpuh juga apabila ramai pesakit dan kematian yang tinggi.

"Apabila orang paling penting dalam kilang itu mati, kilang akan lumpuh juga, kita sudah tahu kita menjurus kepada kelumpuhan kenapa kita tidak menyelesaikan terlebih dulu," katanya.

Menurutnya, secara prinsipnya untuk lebih memahami virus itu adalah penularan penyakit berjangkit berlaku sekiranya mereka dijangkiti bergerak.

"Ke mana saja dia bergerak dia akan menularkan penyakit, jadi jika kita dah tahu itu puncanya bagaimana mengekang penularan itu berlaku," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 6:01 PM