Mohd Roji Kawi

Kuching: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 merampas rokok putih seludup bernilai RM4.3 juta dalam pemeriksaan terhadap sebuah lori di simpang Jalan Gedong, Serian, semalam.

Komander PPM Wilayah 5 Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Kuching ditahan sepasukan pegawai dan anggotanya yang terbabit dalam Op Kontraban pada jam 5.50 pagi.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat selepas maklumat perisikan mendapati lori berkenaan disyaki membawa muatan barangan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa muatan sejumlah kotak berisi rokok putih pelbagai jenis dan pemandunya gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan.

"Pasukan serbuan kemudian merampas lori bersama muatannya dengan nilai rokok serta lori dianggarkan berjumlah RM4.5 juta," katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah 5, di sini, hari ini.

Shamsol Kassim (tengah) bersama sebahagian dari rokok yang dirampas selepas mengadakan sidang media berkenaan Tangkapan Rokok di bilik mesyuarat Pasukan Polis Marin, Jalan Tenaga, Bintawa Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Shamsol Kassim (tengah) bersama sebahagian dari rokok yang dirampas selepas mengadakan sidang media berkenaan Tangkapan Rokok di bilik mesyuarat Pasukan Polis Marin, Jalan Tenaga, Bintawa Kuching. FOTO NADIM BOKHARI

Shamsol berkata, pemandu lori berusia 52 tahun turut ditahan dan dibawa ke Markas PPM Wilayah 5 untuk tindakan lanjut.

"Kes itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serian dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Rokok terbabit dipercayai dibawa dari Bintulu untuk diedarkan di pasaran sekitar Kuching," katanya.

Menurutnya, pemandu lori terbabit turut mengemukakan surat kebenaran polis untuk merentas zon dan menggunakan alamat sebuah syarikat ketika membuat permohonan.

"Siasatan juga akan dilakukan untuk mengenal pasti pembabitan syarikat yang dinyatakan dalam permohonan permit rentas daerah itu dengan sindiket penyeludupan rokok terbabit," katanya.

Rampasan rokok putih itu adalah kejayaan kedua terbesar PPM Wilayah 5 selepas rampasan berjumlah RM30.13 juta di Sibu, 12 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 4:08 PM