Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Bayi kembar perempuan berusia lima bulan antara 84 penduduk di Kampung Pauh Lima positif Covid-19 sehingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, selain bayi kembar berkenaan, seramai 10 ahli keluarganya termasuk kedua ibu bapa dan datuk serta neneknya turut dijangkiti Covid-19.

"Bayi berkenaan disahkan positif Covid-19 kelmarin dan sudah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

"Sehingga kelmarin kita sudah menjalankan ujian calitan terhadap 423 penduduk dan 84 daripada mereka adalah positif Covid-19.

"Kita menjangkakan proses pengambilan ujian calitan bagi saringan pertama ini selesai dua hari lagi membabitkan 1,032 penduduk," katanya.

DR Zaini Hussin (kiri) ketika meninjau penduduk Kampung Pauh Lima membuat ujian swab Covid-19 terhadap mereka yang dikesan sebagai kontak rapat wabak Covid-19 tersebut yang dilaksanakan PKPD mulai hari ini sehingga 1 Jun depan.FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Zaini Hussin (kiri) ketika meninjau penduduk Kampung Pauh Lima membuat ujian swab Covid-19 terhadap mereka yang dikesan sebagai kontak rapat wabak Covid-19 tersebut yang dilaksanakan PKPD mulai hari ini sehingga 1 Jun depan.FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika meninjau Kampung Pauh Lima, di sini, yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini sehingga 1 Jun depan.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Dr Zaini turut berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan penduduk setakat ini dan mereka tampil secara sukarela untuk menjalani ujian calitan.

"Kita juga berharap penduduk kampung dapat mematuhi SOP sepanjang pelaksanaan PKPD sehingga 1 Jun ini dengan tidak keluar dari kawasan berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 3:16 PM