BERNAMA

Alor Setar: Polis akan menambah jumlah pasukan pemantaunya bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kota Setar yang bermula hari ini sehingga 1 Jun depan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, untuk PKPD ini, jumlah pasukan pemantau ditambah kepada 41 pasukan berbanding sembilan pasukan sebelum ini, yang akan berada di lapangan bagi memantau segala pergerakan dan aktiviti di kawasan itu.

"Seramai 272 pegawai dan anggota termasuk dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga akan terbabit dalam penugasan sepanjang pelaksanaan PKPD Kota Setar ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Alor Setar Utara, tengah malam tadi.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, pihaknya akan melaksanakan dua SJR di Plaza Tol Alor Setar Utara yang membabitkan laluan keluar dan masuk di tempat berkenaan.

KOMPLEKS Pekan Rabu menutup operasinya selama dua minggu susulan pelaksanaan PKPD bagi Daerah Kota Setar bermula hari ini hingga 1 Jun depan. FOTO BERNAMA
KOMPLEKS Pekan Rabu menutup operasinya selama dua minggu susulan pelaksanaan PKPD bagi Daerah Kota Setar bermula hari ini hingga 1 Jun depan. FOTO BERNAMA

Selain SJR, katanya lima tempat pemeriksaan juga dilaksanakan, membabitkan sempadan daerah iaitu di Jalan Kepala Batas-Alor Setar, Persimpangan Teluk Jamat-Pokok Sena, Jalan Kuala Sala, hadapan Balai Polis Alor Janggus dan hadapan Balai Polis Kota Sarang Semut.

"Kita juga mengenal pasti lapan lorong tikus yang menghubungkan Kota Setar dengan daerah yang lain. Penutupan penuh bagi lorong-lorong tikus itu akan dibuat secara berperingkat dan ia dijangka mengambil masa selama dua hari," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk di daerah Kota Setar supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, selain peka dengan maklumat terkini berkaitan pelaksanaan PKPD melalui laman rasmi MKN atau laman media sosial Polis Kota Setar.

Isnin lalu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan daerah Kota Setar akan dikenakan PKPD bermula 19 Mei hingga 1 Jun depan, berikutan berlaku peningkatan kes COVID-19 di daerah berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 9:39 AM