Chow Kon Yeow menjawab soalan wartawan ketika sidang media di Auditorium A, Tingkat 5, Komtar. FOTO MIKAIL ONG
Chow Kon Yeow menjawab soalan wartawan ketika sidang media di Auditorium A, Tingkat 5, Komtar. FOTO MIKAIL ONG
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Unit Rawatan Rapi Medan (Field) ICU yang akan dibina di Hospital Kepala Batas (HKB) dalam masa terdekat, di sini bakal menempatkan 27 katil bagi merawat pesakit Covid-19 kritikal.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan sepenuhnya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas pelaksanaan 'Field ICU' berkenaan.

Menurutnya, pada masa ini mesyuarat berhubung perkara itu sudah dilakukan oleh beberapa agensi berkaitan bagi melihat keperluan yang diperlukan.

"Kita dapati ICU itu apabila ia siap didirikan memerlukan bekalan elektrik, mekanikal, sivil dan peralatan perubatan berkaitan yang ia membabitkan bajet RM2.038 juta.

"Kerajaan negeri akan cuba memberi sokongan terbaik kepada ATM dan KKM untuk usaha ini dan jangka ia akan didirikan tidak lama lagi," katanya pada sidang media di Georgetown, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan, berkata terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan 'Field ICU' di HKB Pulau Pinang bagi merawat pesakit kritikal.

Menurutnya, proses pembinaan 'Field ICU' itu adalah sebagai persediaan bagi menampung kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang yang sudah meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini.

'Field ICU' itu akan menggunakan konsep modular yang mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan 'life support' lain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 9:02 PM