GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Bachok: Tujuh lelaki yang berkumpul mengadakan 'kenduri' ketum di sebuah rumah di Kampung Tempoyak Kadok, di Kota Bharu ditahan selain turut dikenakan kompaun, semalam.

Difahamkan, mereka berusia 20-an itu ditahan pada 11 malam tadi dalam keadaan khayal.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua mereka dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) akibat berkumpul.

Menurutnya, pada masa sama, mereka kini direman untuk siasatan Akta Racun 1952.

"Orang lain berkumpul buat jamuan raya dengan juadah raya, namun kumpulan pemuda itu membuat 'open house' dengan menghidangkan ketum.

"Kita mengeluarkan kompaun RM5,000 seorang kepada mereka kerana kesalahan berkumpul," katanya selepas mengadakan lawatan di Kampung Pauh Lima, di sini, yang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam ini sehingga 1 Jun ini.

Shafien berkata, rumah berkenaan yang dijadikan tempat berkumpul adalah milik salah seorang keluarga suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 5:46 PM